Sarperlingi's Blog
manusia hari ini

BUDAYA KERJA CEMERLANG


Manusia yang hidup bermasyarakat zaman-berzaman menggunakan sistem pentadbiran dalam mengaturkan segala kegiatan bagi mencapai keselesaan, kemakmuran, kebahagian dan kejayaan. Perkara ini terbukti berdasarkan sejarah umat manusia yang telah membangunkan berbagai tamadun sejak zaman Nabi Adam a.s hinggalah sekarang.

Zaman yang kian maju dihiasi dengan peralatan moden tidak bererti kewibawaan manusia wajar ditinggalkan. Manusia mempunyai kepakaran yang tidak dapat diambil oleh kesemua peralatan moden. Manusia diberikan keistimewaan akal di samping hidup yang bermatlamatkan pengabadian diri kepada Allah s.w.t.

Hakikat inilah sebenarnya telah dikenalpastikan oleh Islam kerana pendekatannya yang telah dilakukan oleh Islam sendiri ialah membentuk manusia dari segi matlamat hidup, pegangan hidup, sikap dan jiwa mereka supaya menjadi manusia yang benar-benar mengabdikan diri kepada PenciptaNya dengan keyakinan yang tidak berbalah bagi.

Penerapan nilai-nilai Islam merupakan faktor utama yang boleh membawa perubahan positif di dalam perkhidmatan. Perkhidmatan berdasarkan kepada nilai-nilai Islam akan tetap unggul dan utuh sepanjang zaman. Nilai-nilai murni Islam tidak akan terhakis walaupun zaman sentiasa berubah kerana Islam itu tetap sesuai pada semua tempat, keadaan dan masa.

Dari segi bahasa ialah keelokan, keindahan dan kegemilangan. Dari segi istilah ialah membuat satu perkara dengan tekun dan bersungguh-sungguh dengan mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikirannya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam menuju matlamat untuk memberikan mafaat masyarakat dan umat Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Tidak ada orang yang makan makanan yang lebih baik, daripada hasil usaha tangannya sendiri dan sesungguhnya nabi Allah Daud a.s makan dari hasil usahanya sendiri”

Kecemerlangan dalam perkhidmatan boleh juga dimaksudkan sebagai kerja, usaha dan tugas di dalam sesuatu perkara sama ada ia menjadi punca rezeki dalam kehidupan atau dijadikan sebagai satu budaya atau sebagai cara hidup oleh individu atau masyarakat yang dapat memberikan faedah dan segala perbuatannya itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Manusia adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Mereka dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan beriman kepada Allah s.w.t dan beramal soleh. Sebaliknya mereka diletakkan sebagai makhluk yang paling hina sekiranya tidak melaksanakan tuntutan tersbeut. Oleh itu bekerja dengan bersungguh-sungguh atau mengamalkan budaya kerja cemerlang merupakan tuntutan agama yang mempunyai kaitan secara langsung dengan nilai ibadat itu sendiri.

Bekerja sebagai memenuhi tuntutan untuk mencari rezeki dan keperluan sara hidup adalah kewajipan kepada individu muslim. Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya :-

“Mencari rezeki halal itu adalah kefardhuan selepas kefardhuan-kefardhuan yang lain”

Lantaran itu kesungguhnya mencari rezeki untuk keperluan diri, keluarga dan agama termasuk dalam kategori jihad yang maha agong dan dalam masa yang sama ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan untuk mencapai kehormatan diri, agama, bangsa dan Negara.

Budaya kerja cemerlang akan memberikan hasil dan produktiviti yang tinggi serta penghasilan yang besar. Ganjaran yang diterima oleh seseorang adalah berdasarkan kepada usaha yang dilakukan. Islam menitiberatkan hasil kerja yang berkauliti dan bermutu tinggi umpamanya ibarat khusus, ia dinilai berdasarkan kesempurnaan dan disiplin ketika menunaikan tuntutan-tuntutan tersebut. Sebagai contoh; wudhu yang diambil ketika hendak menunaikan solat. Begitu juga ganjaran pahala dan penerimaan ibadat juga bergantung sejauhmana ibadat itu dilakukan sama ada sempurna atau sebaliknya.

Budaya kerja cemerlang adalah tuntutan Islam yang perlu dilaksanakan untuk mencapai kecemrlangan dalam setiap lapangan kehidupan. Inilah gambaran yang perlu dilaksanakan oleh setiap muslim dalam segala urusan hidupnya, bertepatan dengan Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 110 :

“Kamu umat Muhammad (Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan dikalangan manusia kerana kamu melakukan amar makruf dan mencegah kemungkaran dan juga beriman kepada Allah”

Dengan membuktikan kecemerlangan tersebut mereka menjadi model dan juga contoh ikutan yang sekaligus boleh mengangkat martabat umat Islam secara umum.

Kecemerlangan umat Islam di zaman silam adalah kerana usaha dan kegigihan mereka dalam setiap lapangan yang mereka ceburi. Di zaman Rasulullah s.a.w sahabat dan tabi’in yang mewarisi sifat kecemerlangan ini dalam setiap lapangan kehidupannya. Mereka bukan sahaja cemerlang dalam ibadat khusus tetapi juga cemerlang dalam ibadat umum yang direalisasikan dalam kehidupan sehari-hari. Mereka mencari dunia tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan kehidupan akhirat. Kecemrlangan dalam melaksanakan amal-soleh ini bertepatan dengan tuntutan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qasas ayat 77 :

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia”.

Dan hadis Saiyidina Ali r.a. yang bermaksud :”Bekerjalah kamu untuk kehidupan dunia seolah-olahnya kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari”.

Umat yang mengutamakan kecemerlangan hidup secara menyeluruh dan bersepadu dalam semua hal kehidupan dunia dan akhirat akan dapat menguasai dunia sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada orang-orang yang beriman dan beraman soleh di samping akan mendapat ganjaran dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak.

KEPENTINGAN DALAM MENUJU KECEMERLANGAN DALAM KERJA

Mengutamakan niat

Bekerja dalam Islam memerlukan niat yang baik dan hasil niat yang baik menjadikan seorang itu beramanah, berdisplin penuh, bertanggungjawab dan akan berusaha meningkatkan prsetasi kerjanya agar menjadi lebih sempurna. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Sesungguhnya semua amal perbuatan dengan niatnya dan bagi setiap orang itu menurut apa yang diniatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang berhijrah untuk tujuan mencari harta dunia dan kepada perempuan yang ingin dikahwini maka hijrahnya itu apa yang diniatkannya”.

Niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t menjadi seorang itu bersikap jujur dan tidak berputus asa atau merasa kecewa dengan halangan dan cabaran yang ditempuhinya. Ia tidak akan mudah berpuashati dengan pencapaiannya malah akan berusaha mencapai hasil yang lebih baik dan akan bertindak sebagai penyumbang kepada pihak lain. Ini adalah kerana sebagai seorang yang bersyukur haruslah menjadi seorang yang lebih dinamik menyumbang kepada kebajikan dan maslahat orang lain dan kerjanya haruslah bersih dan suci dari sebarang unsure-unsur yang haram.

Niat merupakan suatu perkara yang sangat penting bagi mencapai lecemerlangan dalam perkhidmatan. Dengan niatlah setiap pekerjaan atau amalan dinilai oleh Allah s.w.t. keutamaan niat perlu ditekankan di dalam usaha mencapai kecemerlangan kerana ia juga akan membawa kepada keredhaan Allah dan kesempurnaan sesuatu pekerjaan.

Niat kerana Allah

Setiap pekerjaan atau usaha yang dilakukan seorang hamba akan dinilai mengikut sejauh mana niatnya. Sekiranya niat itu, semata-mata untuk mencari keredhaan Allahs.w.t, maka ia akan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t dan seterusnya mendapat ganjaran pahala dariNya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah ayat 105 :

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang maha mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu ap yang telah kamu kerjakan”.

Manfaat kepada manusia

Manfaat dari segi bahasa ialah berguna ataupun berfaedah. Setiap perkara yang dituntut untuk dilaksanakan dalam Islam mestilah suatu perkara yang bermanfaat dan tidak terdapat padanya sesuatu yang membawa mudharat dan kerosakkan. Dengan demikian Islam menganjurkan kepada para pengikutnya supaya membuat perkara yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan tidak mendatangkan kemudharatan dan kerosakan. Allah s.w.t menjelaskan dalam Al-Quran surah AL-Qasas ayat 77 :

“Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Bermanfaat dalam perkhidmatan

Tidak ada sifat yang dapat menambah hati seseorang kakitangan terhadap ketua yang suka memberi manfaat kepada orang bawahannya. Memberi manfaat (berbuat baik) di sini bukan bermakna ia membiarkan kakitangan bawahannya melakukan kerja sesuka hati tanpa disiplin, bahkan bermaksud bertimbangrasa, pemurah, tidak mengeluarkan kata-kata menyinggung perasaan, lemah lembut, sahsiah yang tinggi, taat kepada Allah s.w.t, menghormati orang bawahannya, baik hubungan dengan mereka dan sentiasa menyumbang kea rah mewujudkan suasana harmoni dalam jabatannya.

CIRI-CIRI MENUJU KECEMERLANGAN DALAM PEKERJAAN

Menerapkan nilai budaya kerja Islam

Setiap pekerjaan yang dirancang dan dilaksanakan iaitu dalam bentuk usaha dan kerja untuk membangunkan manusia dan Negara mestilah dijalankan dalam semua bidang sama ada sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain. Semua aktiviti ini mestilah selari dan sesuai dengan Islam sekiranya nilai-nilai yang ditentyukan oleh Islam itu dapat mengambil kira dan diserapkan dalam perlaksanaan kerja itu.

Dalam konteks perkhidmatan masalah budaya kerja yang dihadapi amatlah banyak seperti perbuatan rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak cekap dan berdedikasi dalam menjalankan tugas, tidak beramanah, diskriminasi dan penindasan dan berbagai penyelewengan lain yang sering menjejaskan kelincinan dalam sesebuah insitusi pentadbiran.

Dalam Islam, prinsip moral dan akhlak bertindak sebagai pemandu dan pemimpin bagi setiap peribadi dan individu serta menjadi kepada masyarakat manusia keseluruhannya. Konsep ini jauh berbeza dengan konsep secular yang beranggapan bahawa tindakan dan aktiviti serta pemikiran manusialah sendiri yang menentukan nilai dan dasar hidup manusia.

Dalam hal ini, manusia akan bebas bergerak dan bertindak tanpa terikat dengan nilai-nilai moral kerohanian dan keimanan seperti yang telah ditentukan Islam. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Nahl ayat 97:

Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus; dan diantara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran; dan jika ia kehendaki, tentulah Ia memberi pertunjuk kepada kamu semua (yang menyampaikan ke jalan yang lurus”.

Menerapkan nilai etika kerja dalam Islam

Nilai etika kerja dalam Islam lebih menyeluruh. Ianya mempunyai cirri-ciri sempurna. Perkara ini bertitik tolak daripada tanggapan bahawa segala apa yang dilakukan oleh manusia semuanya dikira sebagai ibadah dan merupakan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Berdasarkan penelitian daripada Al-Quran dan As-Sunnah dapatlah disimpulkan beberapa nilai etika kerja menurut Islam antaranya :-

i. Kebenaran :

Benar adalah sifat yang mulia di sisi Allah s.w.t. sifat ini boleh meletakkan manusia di atas satu tingkatan yang tinggi. Ianya boleh menjamin ketelusan seseorang dalam apa jua perkara yang dilakukan. Ia mestilah berasaskan kepada iman dan taqwa, benar tentang niat, perkataan, tingkahlaku, tindakan dan perkhidmatan. Allah s.w.t berfirman dalam surah At-Taubah ayat 119 :-

“Wahai orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar”.

ii. Kemuliaan :

Manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t ialah mereka yang bertaqwa. Dalam menjalankan tugas, mereka tidak terlalu terikat dengan kedudukan pangkat, kuasa, gelaran dan kedudukan dalam perkhidmatan. Mereka harus lebih bersikap terbuka dan boleh menerima serta mempertimbangkan apa jua pandangan orang lain. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Hujerat ayah 119 :

“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan suku kaum supaya kamu berkenalan dan beramah mesra di antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu, sesungguhnya Allah maha Mengetahui lagi Maha mendalamPengetahuanNya”.

iii. Ihsan :

Dari satu segi, ihsan membawa maksud Alah s.w.t melihat segala perbuatan manusia sama ada secara terang atau tersembunyi. Oleh itu seorang kakitangan dalam sesuatu perkhidmatan akan beranggapan bahawa segala perbuatan dan tinkah laku dalam pengurusan akan sentiasa dilihat dan diperhatikan oleh Allah s.w.t.

Dengan yang demikian, ia boleh menjamin tidak berlakunya apa juga jenis penyelewengan dalam perkhidmatan. Dari sudut yang lain, ia membawa maksdu belas kasihan, baik hati dan bertimbang rasa khususnya dlam sebuah institusi perkhidmatan. Allah s.w.t telah menjanjikan syurga kepada mereka yang mempunyai sifat ini. Firman Allah s.w.t dalam surah Yunus ayat 26 :

“Untuk orang yang berusaha menjadikan amalannya baik, dikurniakan segala kekayaan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula berseri-seri tidak diliputi oleh sebarang kekeruhan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selam-lamanya”.

iv. Keadilan :

Adil dari segi bahasa membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dari segi istilah pula meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan kepada ketentuan aqidah, syariah dan akhlak bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam pengurusan pentadbiran keadilan meliputi dalam semua hal dan bidang termasuk juga peraturan organisasi, undang-undang, pengagihan kerja dan keselarasan gaji. Sehubungan dengan itu Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Nisa ayat 57 :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah (hak) kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hokum di antara manusia Allah s.w.t menyuruh kamu menghukum dengan adil”.

v. Amanah :

Islam menegaskan bahawa setiap perancangan dalam perkhidmatan mestilah berdasarkan kepada amanah. Dari segi syarak, sifat ini membawa erti perasaan tanggungjawab yang dirasai oleh seseorang terhadap tiap-tiap sesuatu yang diserahkan kepadanya untuk dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu mestilah bertanggungjawab di atas kepimpinan kamu. Seseorang pemimpin yang memimpin orang ramai adalah bertanggungjawab di atas kepimpinanannya. Isteri adalah pemimpin dan tanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya dan anaknya. Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pimpinan kamu”.

vi. Kesederhanaan :

Islam sangat menggalakkan penganutnya bersikap sederhana dalam semua hal. Islam itu sendiri merupakan agama yang sederhana pertengahan dan umatnya merupakan umat yang menjadi teladan kerana kesederhanaannya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 110 :

“Katakanlah (wahai Muhammad), serulah nama Allah atau nama Al-Rahman yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua nama itu adalah baik-baik belaka). Kerana Allah mempunyai banyak nama yang baik serta mulia. Dan janganlah kamu nyaringkan bacaan doa atau sembahyang kamu, juga janganlah kamu perlahankan ia dan gunakanlah sahaja satu cara sederhana antara keduanya”.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda :

“Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan (sederhana)”

vii. Keberanian :

Berani merupakan satu sifat yang sangat perlu dalam menjayakan satu-satu pengurusan dalam pentadbiran. Dalam kacamata Islam, ia mestilah disertaidengan keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t untuk menegakan kebenaran dan mencegah perkara kemungkaran. Allah berfirman dalam surah Saba’ ayat 28 :

“Dan tiadalah berfaedah syafaat di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkanNya memperolehisyafaat itu, Sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka akan berkata “Apakah yang telah difirmankan oleh tuhanmu?”, Mereka menjawab “Perkataan yang benar”, dan dialah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar”.

viii. Menepati janji :

Sifat ini amat digalakkan dalam Ilsma sebagai salah satu nilai dan etika kerja dalam perkhidmatan. Seseorang kakitangan wajib menunaikan janjinya sekiranya ia telah membuat temu janji atau menyempurnakan tugas atau menyerahkan hasil kerja yang ditetapkan pada waktunya. Tidak menepati janji adalah satu perkara yang dilarang dan ditegah oleh Islam serta dianggap sebagai pecah amanah, melakukan penganiayaan dan menghampakan harapan orang lain.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Mukminun ayat 8 :

“Dan mereka yang memelihara amanahnya dan menepati janjinya”.

ix. Menghargai masa :

Allah s.w.t menjadikan masa untuk manusia menunaikan pelbagai kewajipan dan tanggungjawab yang wajar dilaksanakan. Masa semestinya dimanfaatkan sebaik-baiknya agar tidak berlalu dengan sia-sia. Dengan nikmat masa, manusia boleh melakukan kebaikan, kebajikan meningkatkan keimanan, beramal soleh, nasihat menasihatan, melakukan kebenaran dan banyak bersabar khususnya ketika dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dan perkhidmatan. Sehubungan dengan ini Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.

x. Kesabaran

Sabar adalah ketahanan jasmani dan rohani untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Sabar juga membawa maksud keupayaan mengawal nafsu yang membawa kepada kejayaan jangka panjang kepada seseorang khususnya dalam melaksanakan sesuatu perkhidmatan. Allah s.w.t menjelaskan dalam surah Al-Kahfi ayat 28 :

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Qur’an, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkahlakunya pula adalah melampaui kebenaran.

xi. Toleransi :

Toleransi ialah sikap boleh menerima perbezaan dalam satu situasi yang sama keadaannya tanpa merasa iri hati, marah, tidak puas hati dan dendam. Ia meliputi semua bidang dan peringkat perkhidmatan termasuklah dalam perbezaan pendapat, bidang tugas, jawatan dan sebagainya. Ianya dapat mewujudkan dan mngekalkan suasan kerja yang harmoni mesra dan menyeronokkan. Islam juga adalah agama yang mengamalkan toleransi.

Sehubungan ini Allah s.w.t telah berfirman sebagaimana termaktub di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 256 :

Tidak ada paksa dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

xii. Kebaktian :

Dalam kehidupan manusia, tidak ada yang lebih berharga dan bernilai selain dari meluasnya sikap kasih sayang, tolong menolong, saling faham memahami dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Semua perkara ini sangat penting di dalam sesuatu perkhidmatan yang boleh mengekalkan dan meningkatkan lagi kecekapan, kemahiran dan kualiti perkhidmatan. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 92 :

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayang. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

xiii. Pemaaf :

Melakukan sesuatu kesalahan dan kesilapan merupakan salah satu daripada fitrah manusia. Setiap kesalahan dan kesilapan akan terjadi, sama ada berlaku dengan sengaja mahupun yang tidak disengajakan dan sama ada tahu mahupun tidak mengetahui. Sekiranya ia berlaku dengan sengaja, maka ia perlulah diteliti dengan terperinci dan dipertimbangkan dengan sewajarnya agar perkara itu tidak akan berulang dan berlaku lagi.

Dalam sesuatu perkhidmatan, kemaafan sangat digalakan oleh Islam untuk memberikan peluang kepada kakitangan yang melakukan kesilapan dapat memperbaikinya. Perkara ini dijelaskan di dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 22 :

“…dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi.

xiv. Nilai diri :

Menungkatkan mutu kerja dan kualiti perkhidmtan merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan tugas seseorang untuk menuju kecemerlangan. Salah satu cara bagaimana ia dapat dilaksanakan adalah dengan menilai kelemahan diri sendiri, kekurangan, kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Jesteru itu, menilai diri setiap masa akan membantu pihak perkhidmatan untuk meningkatkan mutu kerja dan hasil.

xv. Kesyukuran :

Syukur dapat membantu seseorang itu mencapai matlamat dalam perkhidmatan secara teratur, sempurna, aman dan baik disamping dapat menghayati segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Dia seharusnya melihat nasib orang yang lebih rendah darinya bukan melihat ke atas iaitu orang yang lebih berkedudukan dan berpangkat.

Sifat ini bukan sahaja dapat menghilangkan perasaan iri hati, hasad dengki sebaliknya berusaha mengikut kadar keupayaan untuk mencapai kecemerlangan dengan perasaan gembira, bahagia dan bersyukur sehingga Allah s.w.t akan menambahkan nikmat yang telah dikecapinya dari semasa ke semasa. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ibrahim ayat 7 :

“…Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi ni’matKu kepada kamu…”

AKIBAT KERJA TIDAK MENURUT ISLAM

Bala bencana dan kerosakan akan berlaku di muka bumi

Allah telah menjelaskan bahawa segala kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah akibat daripada usaha dan tindak tanduk manusia itu sendiri. Jesteru, bala bencana yang berlaku adalah sebagai peringatan atau hukuman mengenai apa yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kerosakan yang dimaksudkan meliputi semua kerosakan yang dilahirkan oleh manusia sama ada pada diri, masyarakat, bangsa dan Negara. Allah s.w.t berfirman dalm surah Ar-Rum ayat 41 :

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Bala bencana akan turun secara menyeluruh

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’ ayat 16-17 :

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya ta’at), lalu mereka menderhaka dan melakukan ma’siat padanya; maka berjaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.

FirmanNya lagi dalam surah Al-Anfal ayat 25 :

“Dan janganlah diri kamu daripada (berlakunya) dosa(yang membawa bala’ bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”.

Keadaan ini akan berlaku apabila manusia membiarkan segala bentuk kejahatan, maksiat, penyelewengan dan penindasan dilakukan sesama manusia tanpa sebarang usaha untuk menghalang dan menyekatnya. Sebagai contoh kegiatan rasuah yang dilakukan oleh sebahagian kakitangan sekiranya dibiarkan ia akan terus merebak dan menjadi penyakit parah yang boleh meruntuhkan jentera sebuah pertadbiran dan akan menyusahkan orang ramai. Paling menakutkan akibatnya negara akan terdedah oleh ancaman musuh-musuh asing yang akan mencari kesempatan. Bila keadaan ini berlaku semua pihak akan menghadapi risikonya.

Ditimpa azab siksa di dunia dan akhirat

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’raf ayat 179 :

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata ((tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Azab siksa di sini bermaksud segala penyelewengan yang dilakukan oleh individu ketika bekerja mencari rezeki akan dibalas oleh Allah s.w.t. Terkadang hukan adalah dalam bentuk hukuman dunia seperti dihukum penjara, dibuang kerja dan sebagainya. Termasuk juga rezeki yang diperolehi secara tidak berkat akan menjadikan kehidupan semakin sempit, tertekan, tidak merasa puas, tidak bahagia kehidupan berkeluarga dan sebagainya walaupun pada zahirnya banyak harta, mewah, pangkat tinggi dan disanjung oleh masyarakat. Lebih menakutkan azab Allah s.w.t di akhirat ketika dihukum dan dihumban ke dalam neraka kerana dosa-dosa yang dilakukan seperti penyelewengan, penipuan, rasuah, penyeludupan dan sebagainya walaupun di dunia mereka telah terlepas.

Tiada keberkatan dalam kehidupan

Firman Allah s.w.t dalam surah Al’raf ayat 96 :

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri tiu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpahlimpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab yang mereka telah usahakan.

Ditimpa kehinaan, kemurkaan dan kemiskinan hidup

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Imran ayat 112 :

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) dimana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum- hukum Allah).

Mendapat kehidupan yang sempit, tertekan dan tidak mendapat ketenteraman hidup

Firman Allah s.w.t dalam surah Taha ayat 124 :

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Dikhuatiri akhir kehidupannya dalam su’ul khatimah

Firman Allah s.w.t dalam surah As-saf ayat 5 :

Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku, Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?” Maka tatkala mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah pertunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang fasik derhaka.

FirmanNya lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 7 :

“(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah menteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar”.

KESIMPULAN

Semmangnya, sudah menjadi impian dalam sesuatu perkhidmatan dan menjadi impian setiap individu yang mengutamakan agama, bangsa dan negaranya untuk menjadikan perkhidmatannya ke arah kecemerlangan. Ini bertujuan untuk meningkatkan martabat, imej dan kedudukan agama, bangsa serta Negara di suatu kedudukan yang tinggi dan sempurna.

Dalam perkara ini, sistem, nilai dan moral serta budaya yang digariskan oleh Islam merupakan teras penting bagi mewujudkan kemajuan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan. Ia perlu dipupuk bermula daripada peringkat awal kehidupan seseorang dan diteruskan sepanjang hayat perkhidmatannya.

Sehubungan dengan itu, penghayatan nilai-nilai kerja yang bergerak di bawah landasan islam perlu dihayati seterusnya dilaksanakan dalam sesuatu perkhidmatan yang teguh dan sempurna. Berdasarkan penelitian, dapatlah disimpulkan beberapa kesimpulan yang difikirkan sesuai untuk membentuk nilai-nilai murni sebagai panduan menuju kecemerlangan dalam sesuatu perkhidmatan, ia dibahagikan kepada beberapa bahagian ;-

1.      Sentiasa mencari dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dengan konsep perkhidmatan dalam Islam.

2.      Keseimbangan antara usaha gigih memajukan agama, bangsa dan negara dengan kemantapan perkhidmatan untuk member kemanfaatan kepada masyarakat.

3.      Keseimbangan antara mengejar kesenangan dan kedudukan dengan pertimbangan moral dan etika segajat khususnya bagi orang-orang Islam supaya tidak memisahkan urusan keagamaan dan keduniaan.

4.      Senitiasa mencari jalan untuk mengatasi maslah dan memajukan berbagai-bagai aspek dan keperluan hidup manusia termasuk dalam bidang sosial, ekonomi, teknologi dan masyarakat.

5.      Setia kakitangan perkhidmatan perlu berupaya menjadi teladan yang baik dan mereka juga perlu mempunyai kekuatan semangat dan kemantapan sikap serta beriltizam dan berusaha kea rah kemajuan.

Islam adalah agama bekerja, berusaha disamping berserah kepada Allah s.w.t. Perlaksanaan kerja-kerja fardhu kifayah disamping fardhu ain atau ibadah umum dan ibadah khusus akan meletakkan maruah Islam serta ummahnya ditempat yang paling tinggi.

Tahap kerja yang diiktiraf sebagai ibadah mestilah memenuhi criteria dan displin yang ditentukan oleh Allah s.w.t dan RasulNya. Antaranya yang terpenting ialah mempunyai niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t dan melaksanakan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan dedikasi. Sekiranya kita dapat merealisasikan amalan kita sebagaimana yang dikehendaki dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w pastinya kerja-kerja yang dilaksanakan itu akan dapat ditingkatkan mutu dan kualitinya mengikut standard dan paiwai yang telah ditentukan.

4 Respons to “BUDAYA KERJA CEMERLANG”

  1. mampu ke setiap kakitangan kerajaan ikut etika yang telah ditetapkan. klu tinjau kat jabatan kerajaan disiplin memang kurang. seharusnya pihak atasan tidak boleh pandang ringan. amik tindakan dengan berbincang sendiri staff bagi membaiki mutu khidmat sebagai penjawat awam.

  2. Insyaallah, semua saranan tersebut boleh kita buat… satu cara mudah ialah… ikut cara islam… isalan as the way of life… semua boleh…

  3. KALAU TAK DAPAT BUAT SEMUA JANGAN TINGGALKAN KESEMUANYA
    QAWAID FIQHIYYAH

  4. betul tu.. tidak semua yang mampu dibuat secara keseluruhan. buat perlahan2..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: