Sarperlingi's Blog
manusia hari ini

ANALISA PERSPEKTIF IMAM ALGHAZALI TENTANG MANUSIA


Manusia dijadikan sebagai insan iaitu makhluk terbaik yang diberi dua peranan iaitu sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi dan sebagai hamba yang diperintahkan supaya beribadah kepadaNya. Sebelum Allah s.w.t menjadikan manusia (Adam), terlebih dahulu Allah s.w.t telah menciptakan alam dan seluruh cakerawala, bulan, bintang, matahari dan bumi dengan segala isinya iaitu tumbuh-tumbuhan, ikan yang hidup di laut, haiwan yang terbang di udara, haiwan yang hidup di darat dan sebagainya. Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk. Kelebihan diri kita dari segi unsure-unsur dalam dengan dikurniakan oleh Allah s.w.t ialah akal untuk berfikir dan hati sebagai khazanah untuk menyimpan segala rahsia dan ingatan.

Penciptaan manusia sebagai hamba mewujudkan hubungan antara manusia sebagai makhluk dengan Allah s.w.t yang telah menciptakannya sebagai khalik. Kesan daripada tujuan penciptaan manusia sebagai hamba ini ialah pengabdian. Manusia terikat dengan kewajipan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t, khalik yang telah menciptakannya. Rasa kebertanggungjawaban ini sentiasa wujud dalam sanubari manusia semenjak sebaik sahaja Adam dihidupkan di dalam syurga hinggalah ke hari ini dan akan berterusan hinggalah hari sejurus bermulanya kiamat.

Namun, walaupun manusia menyedari kewajipan mereka untuk mengabdi kepada penciptanya, mereka tidak mengetahui bagaimanakah cara pengabdian itu harus dilakukan. Atas sebab itulah manusia menggunakan upaya akal budinya untuk mencari jalan bagi mengetahui bagaimanakah cara pengabdian itu harus dilakukan. Sepanjang perjalanan mencari menggunakan upaya akal budi ini akhirnya wujudlah kepercayaan-kepercayaan yang sering berbeza antara satu kaum, zaman, atau tempat dengan kaum, zaman atau tempat yang lain. Antara kepercayaan-kepercayaan yang berlainan ini, sudah tentu ada kepercayaan yang lebih menghampiri kebenaran tetapi tidak mungkin akan sampai atau menemui kebenaran sebenar itu kerana ia diperolehi menggunakan upaya akal budi yang juga diciptakan dan dibekalkan bersama-sama manusia itu sendiri.

Manusia dapat diertikan berbeza-beza menurut biologi, rohani, dan istilah kebudayaan, atau secara campuran. Secara biologi, manusia dikelaskan sebagai Homo sapiens (Bahasa Latin untuk manusia bijak), sebuah spesies primat dari golongan mamalia yang dilengkapi otak berkemampuan tinggi.

Dalam hal kerohanian, mereka dijelaskan menggunakan konsep jiwa yang bervariasi di mana, dalam agama, dikaikan dalam hubungannya dengan kekuatan ketuhanan atau makhluk hidup; dalam mitos, mereka juga seringkali dibandingkan dengan bangsa lain. Dalam antropologi kebudayaan, mereka dijelaskan berdasarkan penggunaan bahasanya, organisasi mereka dalam masyarakat majemuk serta perkembangan teknologinya, dan terutama berdasarkan kemampuannya untuk membentuk kelompok dan lembaga untuk dokongan satu sama lain serta pertolongan.

Konsep manusia menurut Imam Ghazali dapat dikaji dari segi unsur kerohanian yang terdiri daripada qalb, roh, nafs dan ‘aql. Imam Al Ghazali di dalam kitab Ihya’ telahmengutarakan teori manusia berdasarkan ayat Al-Quran dalam surah Sad ayat 72 :

“Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya(manusia),serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku)…”

Manusia yang diciptakan Allah s.w.t memiliki unsur-unsur rohaniah iaitu qalb, roh, nafs, dan ‘aql. Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa manusia adalah makhluk yang kompleks, kebendaan, sayangkan kehidupan dan kepandaian manusia suka memuaskan estetika dan benda-benda yang cantik, di samping itu manusia mempunyai roh Ilahi yang bertentangan dengan nafsu itu. Manakala dalam bukunya Kimyatus Sa’adah menerangkan bahawa manusia yang menentang hukum-hukum Allah s.w.t adalah akibat tiadanya pengetahuan dan kegagalan memahami erti kehidupan.

Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa manusia memang berkebolehan untuk mencapai taraf malaikat dengan suluhan ilmu dan boleh juga jatuh tersungkur lebih rendah dari taraf haiwan jika terpengaruh dengan kemewahan dan kemarahan. Malah beliau menekankan kepentingan ilmu dalam membantu memberi kesedaran tentang hakikat dirinya yang tinggi, suci dan murni.

Di samping itu Al-Ghazali turut membicarakan tentang pelbagai sifat manusia di dalam kitab Ihya’ iaitu sifat jahat, sifat haiwan, sifat syaitan dan sifat malaikat. Ke empat tempat sifat ini memang ada pada jiwa manusia. Tindakan yang mulia menyucikan serta membawa nur pada jiwa sementara tindakan jahat dan membawa dosa mengotorkan jiwa sehingga hilang nurnya. Jesteru, huraian Imam Al-Ghazali cukup jelas bahawa manusia memang ada kecenderungan untuk meningkatkan hakikat dirinya yang suci bersih. Namun manusia juga akan terjerumus ke lembah yang lebih rendah dari haiwan. Ilmu dan tindakan yang mulia adalah penting untuk menyucikan diri manusia.

Imam al Ghazali telah menghuraikan unsur kerohanian melalui kejadian manusia:

ROH (AR-RUH)

Imam al-Ghazali dalam karya agungnya Ihya ‘Ulumuddin telah membezakan di antara roh dengan jasad. Roh adalah nyawa yang menghidupkan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan ia wujud dengan sendirinya, manakala jasad bergantung kepada roh untuk mewujudkan hakikat makhluk itu. Roh yang ada pada manusia kekal dan abadi manakala roh haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan musnah. Justeru itu, Imam al-Ghazali membezakan roh manusia daripada roh haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan unsur-unsur tertentu. Roh mempunyai dua pengertian:-

1.    Roh dalam pengertian pertama merupakan jisim lembut yang bersumber dari rongga hati jasmani, dengan perantaraan otot-otot dan urat-urat yang beraneka ragam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian tubuh. Perjalanannya di dalam tubuh, pancaran sinar kehidupan, perasaan, penglihatan dan pendengaran itu sama seperti pancaran sinar dari sebuah lampu yang tersebar ke seluruh sudut rumah, sehingga tidak ada satu bahagian pun dari rumah yang tidak terkena sinarannya. Hidup itu laksana sinar yang berada di dinding, sedangkan roh dan geraknya di dalam batin itu seperti geraknya cahaya lampu di sudut-sudut rumah yang digerakkan oleh penggeraknya.

2.    Bermaksud yang halus (latifah) dari manusia iaitu yang mengetahui dan merasa. Ia menggunakan seluruh daya sebagai alat kelengkapannya. Ia tidak tergolong dalam bentuk yang zahir melainkan halus dan ghaib. Ia turun ke dunia ibarat pengembara yang mengunjungi negeri asing untuk melakukan tugasnya, kemudian ia akan kembali ke tempat asalnya. Roh dalam pengertian kedua ini termasuk sesuatu perkara yang mengagumkan dan bersifat ketuhanan, walaubagaimanapun segala gambaran yang mendalam tentang hakikat roh yang sebenar tidak diizinkan oleh Allah yang Maha Esa. Ini kerana kebanyakan akal dan kefahaman manusia lemah untuk memahaminya. Di dalam al-Quran surah Al-Israa’ ayat 85 telah dinyatakan sebagai berikut:

“Dan mereka itu bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah! Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”

Menurut Imam Al-Ghazali, roh manusia mempunyai tiga unsur yang membezakannya dengan roh makhluk-makhluk lain iaitu hati (al-Qalb), nafsu (al-Nafs) dan akal (al-‘Aql).

HATI (AL-QALB)

Dari segi fizikal, ia merupakan seketul darah beku (jantung) yang terletak di sebelah kiri dada yang menjadi pusat pertemuan saraf dari seluruh badan. Ia merupakan satu organ yang amat penting yang mengumpul dan menyebarkan darah ke seluruh badan. Ia menjadi sumber nyawa atau kehidupan manusia. Dari segi rohaninya, ia merupakan satu gejala yang lembut, halus (latifah) dan bersifat ketuhanan.

Dalam pengertian ini, hati sebagai sesuatu yang lembut adalah hakikat manusia yang dapat memahami, berilmu dan mengenal penciptanya, iaitu manusia yang menjadi sasaran perintah dan larangan Allah s.w.t, yang diseksa, dicela dan dituntut atau diminta bertanggungjawab terhadap amal perbuatannya. Menurut Imam al-Ghazali, kemuliaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain adalah kerana ia dipersiapkan utuk ber‘makrifat’ (mengenal) kepada Allah s.w.t, yang mana di dunia ini makrifat itu merupakan keindahan, kesempurnaan dan kebanggaannya manakala di akhirat kelak merupakan bekalan dan barang simpanannya.

Untuk ber‘makrifat’ kepada Allah s.w.t, manusia haruslah menyiapkan diri dengan hatinya, bukan setakat dengan anggota-anggota tubuh lahir. Maka, hati itulah yang dapat mengetahui (sifat-sifat, perbuatan dan lain-lain). Hati itulah juga yang dapat mendekatkan seseorang hamba kepada Allah s.w.t, beramal untuk Allah s.w.t dan dapat menyingkap apa yang berada di sisi Allah s.w.t dan di hadapan-Nya. Anggota-anggota tubuh lahir itu hanyalah sebagai pengikut, pembantu dan alat-alat yang melayani dan menyokong tugas hati. Ini bermaksud, hati menjadi pusat segala keinginan, cita-cita dan kemahuan. Segala anggota tubuh badan yang lain semuanya tunduk di bawah kekuasaannya sama ada untuk melakukan kebajikan atau kemungkaran.

Dengan ini Imam al-Ghazali mensifatkan hati sebagai raja kepada seluruh anggota manusia di mana semua anggota telah bernaluri untuk tunduk kepada hati. Kepatuhan anggota-anggota dan pancaindera kepada hati menyerupai kepatuhan dan ketaatan para malaikat kepada Allah s.w.t. Hati sebagai raja mempunyai bala tenteranya yang tersendiri bagi menggerakkan kehidupan manusia. Tentera-tentera hati ini terbahagi kepada dua iaitu pasukan lahiriah dan batin. Pasukan lahiriah ialah semua anggota zahir manusia manakala pasukan batin merangkumi pancaindera seperti syahwat dan amarah yang merupakan motif atau penggerak-penggerak serta deria lain yang dapat memberi persepsi seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan dan sebagainya.

Di samping itu, hati manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam ghaib dan melaluinya manusia dapat menerima maklumat-maklumat berhubung dengan alam ghaib dan diberi ilham atau intuisi tertentu. Di sini hati ibarat sebuah cermin yang cerah dan bersih, yang dapat memberi ilham kepada manusia tentang hakikat diri dan Allah s.w.t.

Sebagai kesimpulan, hati merupakan elemen yang mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Hatilah yang banyak mempengaruhi tingkahlaku dan melalui hati, manusia mampu mendekati Allah s.w.t berdasarkan penggerak-penggerak hati sehingga dapat mengetahui urusan dunia dan akhirat.

Apabila hati terlalai maka ia akan terhalang daripada mengenali Allah s.w.t.. Apabila ia tenggelam dengan hal-hal yang selain daripada Allah s.w.t, maka dialah yang dituntut, dialah yang dihisab, dialah yang dicela. Namun, seseorang itu akan beroleh keuntungan apabila ia membersihkan hati. Cahaya hati itu akan tersebar ke seluruh anggota tubuh apabila ia kuat beribadah, sedangkan hal ini tidak berlaku jika dia berbuat maksiat dan derhaka kepada Allah s.w.t.

Perbuatan-perbuatan yang keji oleh hati dan anggota-anggota tubuh itu akan menentukan gelap atau hitamnya hati itu kerana setiap wadah atau bekas itu akan menampakan percikan apa yang ada di dalamnya. Justeru, apabila orang mengenal hatinya, maka ia mengenal dirinya, dan apabila ia mengenala dirinya, maka ia mengenal Tuhannya. Tetapi apabila orang tidak mengenal hati, maka ia tidak mengenal dirinya sendiri, dan apabila ia tidak mengenal dirinya sendiri, maka ia tidak mengenal penciptanya. Sesungguhnya terdapat empat elemen asal dalam menentukan sifat manusia terutama dalam tingkahlaku lahiriah dan kualiti-kualiti mentalnya.

Elemen-elemen ini saling berkait rapat dan ia terjadi secara berperingkat selepas kelahiran manusia. Sebagaimana yang diketahui, manusia diciptakan dengan fitrah yang suci dan mewarisi sifat-sifat keTuhanan seperti pengasih, penyayang, pengampun dan sebagainya. Ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci” .

Walau bagaimanapun setelah kelahirannya, manusia mula menghadapi perkembangan empat unsur yang seterusnya menghasilakn empat sifat umum bagi manusia.

Unsur pertama yang tercipta ialah unsur kehaiwanan (bahimiyya) iaitu kehendak (syahwat) yang bertanggungjawab terhadap kualiti kehaiwanan yang ada pada manusia. Pada satu tahap tertentu, tujuan unsur ini adalah sebagai satu cara melindungi roh dan jasad dari sebarang kemudaratan. Dari unsur inilah terbitnya keinginan untuk makan, minum, tidur dan kegiatan-kegiatan ini jika dikawal dapat memanfaatkan jasad dan roh untuk meneruskan kehidupannya. Walau bagaimanapun, keinginan syahwat ini mempunyai sifat untuk mendesak manusia melepaskan kehendaknya secara bebas. Sekiranya tidak dikawal oleh pertimbangan akal, maka ia akan menolak manusia ke arah perbuatan-perbuatan yang berunsurkan kebinatangan.

Unsur yang kedua ialah unsur kebuasan (sab’iyya) iaitu sifat marah (ghadhab). Tujuannya adalah untuk menjaga dari segala yang dapat mencederakan jasmani. Dalam hal ini, sifat-sifat seperti cemburu, mengajak untuk menangkis dan bertahan merupakan sifat-sifat untuk mempertahankan diri manusia dari segala ancaman. Namun begitu, jika kemarahan tidak terkawal, maka sewaktu manusia dikuasai oleh sifat ghadhab akan timbul perbuatan-perbuatan berbentuk permusuhan, kebencian, menyerang orang lain dan sebagainya.

Seterusnya pada peringkat baligh, akan terbina terbina unsur-unsur kesyaitanan. Di sini, serentak dengan perkembangan akal, manusia mula menggunakan kepandaian yang ada padanya untuk memikirkan tipu daya bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu. Sesuai dengan sifat-sifat kesyaitanan, manusia akan mempunyai sifat-sifat yang sering menimbulkan perseteruan dan penipuan.

Akhir sekali ialah penjelmaan unsur-unsur ketuhanan (Rabbaniah). Unsur-unsur ini membawa kecenderungan kepada manusia untuk mencapai kekuasaan dan kemenangan. Dalam hubungan ini, manusia sering menganggap dirinya lebih berkuasa dan ia mahukan kebebasan, terlepas dari ikatan sifat kehambaan serta ingin memperlihatkan segalanya sekalipun mengaku dirinya sempurna.

Ringkasnya dalam diri manusia terdapat campuran sifat ini yang kesemuanya terkumpul dalam hati dan penting sebagai potensi-potensi penggerak tingkahlaku manusia. Susunan-susunan sifat manusia ini banayk digambarkan dalam Al-Quran. Secara keseluruhan berbagai-bagai sifat yang terbit dari manusia seperti zalim dan bodoh, bersifat tergesa-gesa, melampaui batas dan sebagainya.

NAFSU (AL-NAFS)

Di dalam roh manusia juga terdapat unsur al-Nafs. Ia mempunyai dua pengertian:-

Pertama: al-Nafs ialah sesuatu yang abstrak yang merangkumi daya marah dan nafsu syahwat pada manusia. Bagi ahli tasawwuf, al-Nafs (nafsu) merupakan sifat-sifat tercela yang ada pada manusia sehingga mereka mengatakan bahawa tidak dapat tidak nafsu mestilah dilawan dan diperangi. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Musuhmu yang terbesar ialah nafsumu yang berada di antara dua lambungmu”
Kedua: Yang bersifat halus (latifah) iaitu hakiki pada manusia atau diri manusia dan zatnya. Apabila ia tenang disebabkan penentangan terhadap nafsu syahwat ia disebut al-Nafs al-Muthmainnah (diri atau jiwa yang tenang). Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Fajr ayat 27-28 :

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!. “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberi, lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)”
Secara khususnya, Imam al-Ghazali telah membahagikan An-Nafs kepada beberapa peringkat :
i- Nafs al-Ammarah : Iaitu nafsu yang sedikit pun tidak mempunyai unsur-unsur kebaikan dan sentiasa cenderung kepada kejahatan. Nafsu ini tidak mengambil kira perhitungan akal dan bersifat mendesak untuk melepaskan kehendaknya. Desakan-desakan ini berupaya menundukkan manusia mengikut kemahuannya. Bagi pemilik nafsu ini, mereka tidak akan dapat membezakan antara kejahatan dan kebaikan malah timbul rasa bangga di atas tindakan jahatnya. Ini adalah tahap jiwa yang paling rendah malah kedudukannya adalah lebih rendah daripada binatang.

Justeru, jika nafsu ini ada di dalam jiwa manusia, maka manusia itu akan menjadi seorang yang zalim, penjenayah, pemabuk, penzina, penjudi dan sebagainya kerana ia sentiasa tunduk dan patuh menurut kehendah nafsu syahwat dan hasutan syaitan. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Yusuf ayat 53 :

“Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendorong melakukan kejahatan”

ii- Nafs al-Mulhamah : Iaitu nafsu yang mengandungi unsur kejahatan dan kebaikan. Tetapi nafsu yang jahat itu lebih banyak daripada nafsu yang baik. Manusia yang memiliki nafsu ini akan mengalami peperangan di dalam jiwa dan dirinya, iaitu peperangan perebutan antara kebaikan dan kejahatan. Biasanya kejahatan akan memperolehi kemenangan.

iii- Nafs al-Lawwamah : Iaitu nafsu yang mengandungi kebaikan dan kejahatan. Namun di sini, nafsu yang baik adalah lebih banyak daripada nafsu yang jahat. Sebagaimana Nafs al-Mulhamah, manusia yang memiliki nafsu jenis ini juga akan mengalami peperangan perebutan antara kebaikan dan kejahatan dan biasanya kebaikan yang akan mencapai kemenangan. Di tahap ini, masih ada sifat-sifat yang terdapat dalam nafs al-Ammarah tetapi telah wujud kesedaran untuk berjuang memeranginya.

Nafsu di sini selalu membuat perhitungan mengenai tindak-tanduknya. Al-Ghazali menganggap nafsu ini sebagai diri yang tercela kerana kelalaiannya mengingati Allah s.w.t. Ia mempunyai kriteria menyesali kegiatan maksiatnya tetapi hatinya belum tetap dengan keimanan yang kukuh. Tujuan mencela ini adalah untuk mengembalikan manusia ke jalan yang benar.
iv- Nafs al-Muthmainnah: Iaitu nafsu yang mengandungi kebaikan sahaja. Nafsu ini merupakan nafsu yang tenang dan selamat dari desakan nafsu syahwat serta mempunyai segala sifat kemuliaan. Pengertian nafsu ini secara hakikatnya menunjukkan martabat manusia yang paling mulia dan diperingkat ini nafsu manusia yang sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan telah terbimbing ke jalan yang benar serta telah mendapat rahmat dari Tuhan. Justeru, bagi mereka yang memiliki nafsu ini bermakna mereka adalah golongan yang dijamin akan terus masuk ke syurga tanpa melalui sebarang penyeksaan.
Jadi dapat disimpulkan bahawa nafsu mempunyai dua kekuatan yang amat bertentangan. Kekuatan pertama ialah kekuatan kebaikan seperti pemurah, penyayang, belas kasihan, jujur. Ikhlas dan sebagainya. kekuatan kedua pula ialah kekuatan kejahatan seperti pemarah, pendendam, penipu dan sebagainya.

AKAL(AL-‘AQL)

Selain hati dan nafsu, di dalam roh juga terdapat akal (al-‘Aql). Dari segi fizikalnya, ia merupakan otak. Struktur biologikalnya sama di antara manusia dengan haiwan tetapi kuantitinya sahaja berbeza.

Dari segi kerohanian pula, akal merupakan satu keupayaan untuk menggarap ilmu pengetahuan tentang hakikat segala hal. Ia mempunyai daya kekuatan untuk menimbang sesuatu itu, sama ada kebaikan atau keburukan dan melaksanakan titah perintah hati (al-Qalb) sama ada untuk tujuan kebaikan atau kejahatan. Ia berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi atau menyucikannya dan mendekatkannya kepada Allah s.w.t.

Al-Ghazali melihat akal sebagai salah satu entiti kerohanian yang memberikan kemampuan kepada manusia untuk berfikir dan membuat penaklukan bagi mengetahui segala hakikat tentang sesuatu. Akal sebagai tenaga untuk berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara dan merasakan segala perubahan keadaan sehingga dapat mengambil manfaat darinya. Akal mampu membentuk keperibadian manusia dan merupakan hakikat kepada jiwa yang mempunyai ciri-ciri kemalaikatan.
Kedudukan akal dalam kehidupan manusia menurut pandangan Islam adalah jelas sebagai bakat yang menjadikan manusia berupaya menerima tanggungjawab dari Allah s.w.t. Dengan akal manusia dapat memikirkan untuk melakukan sesuatu, membezakan sesuatu dan membezakan antara hidayah dan kesesatan.

Kesempurnaan amalan tidak akan dicapai selagi tidak menggunakan alat tertinggi dari peralatan jiwa dan tanpanya manusia tidak ada bezanya dengan haiwan. Dengan yang demikian, akal adalah fakulti yang paling tinggi dan mulia dalam diri manusia dan ia tidak dikurniakan walaupun kepada malaikat sekalipun.

Imam al-Ghazali mengaitkan akal dengan konsep Nur (cahaya). Beliau berpendapat sebenarnya penjelasan akal adalah lebih sesuai disebut Nur kerana ia tidak mempunyai sebarang kekurangan. Justeru, di dalam karya yang dihasilkan, beliau membincangkan beberapa keistimewaan dan keupayaan akal serta membandingkannya dengan keupayaan atau kekurangan mata manusia agar kefahaman tentang keistimewaan akal itu menjadi lebih jelas. Berikut adalah perincian mengenai pendapat beliau tersebut:-

i.                    Mata sebenarnya tidak dapat melihat dirinya sendiri, tetapi akal dapat melihat dan mengerti dirinya dan sifat-sifatnya sendiri. Akal adalah sesuatu yang membezakan manusia daripada haiwan. Dengan akal, manusia bersedia untuk menerima pelbagai ilmu nazari (ilmu yang memerlukan pemikiran) dan untuk mengatur usaha-usaha yang memerlukan pemikiran.

ii.                  Mata tidak dapat melihat benda yang sangat dekat atau sangat jauh. Akan tetapi bagi akal sama sahaja, baik yang dekat mahupun yang jauh. Akal itu terbuka dan dapat melampaui tanggapan jauh dan dekat. Menurut pandangan Islam, manusia adalah makhluk yang diberi akal yang dapat mengenal Allah dan merealisasikan-Nya. Akal adalah penjelmaan daripada ‘Devine Intelligence’ iaitu tempat datangnya ‘Hikmah Ilahi’. Seterusnya manusia mempunyai keupayaan yang menjadikannya bebas untuk memilih. Dengan keupayaan tersebut dia boleh memilih untuk tunduk kepada Allah dan kehendak-Nya. Dia boleh memilih apa yang membawanya kepada Allah. Walau bagaimanapun kehendak Allahlah yang tidak terbatas kerana Dialah zat yang mutlak sebaliknya kebebasan manusia hanyalah relatif.

iii.                Mata tidak dapat melihat sesuatu yang berada di belakang dinding, tetapi bagi akal adalah sebaliknya. Akal dapat bergerak dengan bebas sehingga ke alam ghaib dan langit yang paling atas.

iv.                Mata hanya dapat melihat bahagian luar dari permukaan benda iaitu lahirnya sahaja. Ia tidak dapat melihat bahagian yang ada di dalamnya iaitu yang berada di dalam hati atau hakikat. Bahkan mata hanya sanggup melihat bentuk-bentuk yang bersifat lahiriah jauh daripada hakikat kenyataan. Akal pula dapat memecah masuk ke dalam dasar batin bahagian dalam diri benda-benda itu malah sampai kepada intipati hakikat rahsia sesuatu.

v.                  Mata hanya dapat melihat bahagian-bahagian dari benda yang wujud. Mata tidak dapat melihat suara, bau-bauan, rasa (makanan), rasa panas, rasa dingin, mendengar dan sebagainya. Mata juga tidak dapat melihat rasa kejiwaan seperti kegembiraan, sukacita, pedih dan lain-lain. Tetapi akal dapat menangkap semua yang telah disebutkan itu kerana ia mengetahui zahir dan batin, bebas menjelajahi dan membuat penilaian dan keputusan yang tepat serta benar.

vi.                Penglihatan mata tidak boleh melihat benda yang tidak terbatas. Mata hanya dapat melihat benda yang berjasmani. Tetapi akal dapat memahami benda yang tidak terbatas. Ini kerana akal mengenal sesuatu yang abstrak, seperti konsep, idea dan tanggapan.

vii.              Mata sering menganggap yang besar itu kecil. Sebaliknya akal mengetahui bahawa bintang-bintang ataupun matahari lebih besar bahkan berganda-ganda lebih besar daripada bumi. Justeru, apabila akal itu suci dan terpisah daripada perasaan bimbang dan khayal, maka ia tidak akan merasa bersalah, malahan akan dapat melihat sesuatu sebagaimana adanya.

Oleh itu, dapat difahami bahawa cahaya (Nur) itu dapat dinamakan sebagai mata dan disebut cahaya mata (Nurul’ain). Namun yang lebih tepat dan patut dinamakan cahaya itu adalah akal iaitu cahaya akal (Nurul’aql).

Imam al-Gazali menyimpulkan bahawa semua aspek kerohanian seperti nafsu, akal dan hati adalah rahsia Allah yang yang bersifat ruhani dan tidak berjisim. Dalam Ihya Ulumuddin Imam al-Ghazali berbicara mengenai sikap dan tindak tanduk manusia yang diistilahkan sebagai suluk atau akhlak. Suluk dan akhlak manusia bukanlah tingkah laku zahir yang dapat dilihat tetapi lebih kepada tingkah-laku kerohanian yang mempengaruhi tindakan manusia.

Imam al-Ghazali menggariskan tingkahlaku manusia berasaskan kepada surah Al-Hujurat ayat 15 :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar”.

Tiada Respons to “ANALISA PERSPEKTIF IMAM ALGHAZALI TENTANG MANUSIA”

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: